Guru mengajar apa yang baik tapi tidak semestinya guru itu sendiri baik. Penjenayah itu jahat tapi bukan semestinya setiap detik hatinya penuh dengan kejahatan dan bukan setiap yang alim penuh taqwa kerana yang benar-benar bertaqwa sahaja yang mengerti baik dan jahat.

Saturday, August 24, 2013

Peringkat-peringkat yang dialami oleh manusia (makhluk) 3

SYAFAAT 'UZMA

Ertinya pertolongan terbesar yang diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada semua makhluk. Rasulullah S.A.W. berdoa kepada Allah agar disegerakan hisab ke atas umat manusia lalu diperkenakan Allah.

Daripada Ibn Umar R.A. katanya, "aku telah mendengar Rasulullah bersabda:

"Sesungguhnya matahari akan dekat ke atas kepala manusia hingga air peluh sampai ke paras telinga, maka dalam masa mereka berkeadaan demikian, mereka meminta pertolongan daripada Nabi Adam A.S. lalu beliau menolak dan berkata: aku bukanlah orang untuk itu. Kemudian mereka meminta pula kepada Nabi Musa A.S. Dia menjawab dengan jawapan yang sama seperti Nabi Adam. Akhir sekali mereka datang menemui Nabi Muhammad S.A.W. memohon syafaatnya. lalu Rasulullah mengemukakan syafaatnya. Setelah itu Allah Taala memulakan perbicaraan untuk menghakimi khalayak yang ramai itu...., maka pada waktu itu Allah mengangkatnya (Nabi Muhammad S.A.W.) ke martabat "Maqamam Mahmuda" (maqam paling terpuji) yang dipuji oleh semua makhluk yang ada di padang Mahsyar."

Selain daripada Nabi Muhammad S.A.W., nabi-nabi yang lain, para alim ulama, para syuhada (orang yang mati syahid) juga diberi keistimewaan oleh Allah untuk mereka memberi syafaat masing-masing. Syafaat itu adalah syafaat kecil, seperti memasukan seseorang kedalam syurga tanpa hisab.