Guru mengajar apa yang baik tapi tidak semestinya guru itu sendiri baik. Penjenayah itu jahat tapi bukan semestinya setiap detik hatinya penuh dengan kejahatan dan bukan setiap yang alim penuh taqwa kerana yang benar-benar bertaqwa sahaja yang mengerti baik dan jahat.

Saturday, December 28, 2013

Bala itu ujian Allah S.W.T.


Firman Allah S.W.T.:

"Tiada berlaku sesuatu bencana yang terjadi di atas muka bumi ini, atau ke atas diri kamu, melainkan yang demikian itu telah tercatat di dalam kitab (azal) sebelum kami melaksanakan terjadinya. Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah S.W.T. mudah sekali. Supaya kamu tiada berdukacita terhadap apa-apa yang terlepas dari tanganmu, dan tidak bangga pula dengan apa-apa yang diberikannya kepada kamu, dan Allah tidak menyintai orang yang sombong dan membanggakan dirinya."
(Surah al-Hadid: 22-23)



Seorang Islam yang beriman mestilah beriktikad dan mempercayai bahawa segala bala dan musibah (bencana) yang menimpannya adalah ujian Allah ke atas dirinya yang telah ditakdirkan untuk dirinya. Bala yang menimpa dirinya itu adalah ujian Allah terhadap keimanannya. Dan yakinlah bahawa segala bala itu ada mempunyai hikmah yang tidak ternilai. Sesuatu yang baik mesti diuji, kalau tidak diuji, kita tidak tahu baik buruknya.



Firman Allah S.W.T.:

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan "kami telah beriman" sedangkan mereka tidak akan diuji lagi."
(Surah al-Ankabut: 2)



Justeru itu orang yang kuat imannya banyak menerima ujian daripada Allah. Ujian itu akan memberi nilai terhadap kualiti iman seseorang dan ia akan memberi nilai terhadap kualiti iman seseorang dan ia akan berguna bagi memperkekalkan iman seseorang. seseorang itu hendaklah hidup dengan berikhtiar iaitu bekerja dan berusaha sedaya-upaya sambil bertawakal dan berdoa. Bertawakal ertinya menyerahkan nasib diri dan usaha kita kepada Allah S.W.T..  Akhirnya haruslah diingat bahawa penentuan terakhirnya adalah berada di dalam kekuasaan Allah S.W.T.







Firman Allah S.W.T.:

"Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah S.W.T., sebab sesungguhnya tidak akan berputus asa daripada rahmat Allah melainkan orang kafir sahaja."
(Surah Yusuf: 87)

Wednesday, December 25, 2013

Peringkat-peringkat yang dialami oleh manusia (makhluk) 6

SYURGA DAN NERAKA

Kedua-dua tempat inilah merupakan tempat terakhir yang akan dimasuki oleh semua makhluk, manusia, jin dan syaitan. Syurga ialah tempat balasan yang paling nikmat yang kekal abadi yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-Nya yang soleh. Nikmatnya yang tidak terhingga tidak terbayang di fikiran, begitulah gambaran nikmat syurga itu. Ada tujuh buah syurga iaitu Jannatul Firdaus, And, Ma'wa, Naim, Darus Salam, Darul Muqamah, Al-Maqam Al-Amin.

Begitulah juga neraka ada tujuh peringkat iaitu Jahanam, Jahim, Hawiyah, Wail, Sagar, Sair, Ladha dan Hutanah. Bahan pembakar neraka-neraka tersebut terdiri daripada manusia dan jin. Sementara kekuatan api ialah 70 kali ganda kepanasan api dunia.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

"Kepanasan api yang kamu gunakan di dunia oleh anak Adam adalah 1/70 kepanasan api neraka jahanam."


Sementara makanan ahli neraka pula adalah buah Zaqqum iaitu sejenis buah yang pahit rasanya dan busuk baunya, mendidih di dalam perut apabila memakannya yang akan menghancurkan dan memutuskan tali perut.

Friday, December 20, 2013

Peringkat-peringkat yang dialami oleh manusia (makhluk) 5

TITIAN AS-SIRAT

(hiasan)

Setelah selesai manusia diadili oleh Allah S.W.T., masing-masing telah tahu akan balasannya dan keputusan yang sama ada mereka termasuk di dalam kumpulan Ashabul Yamin (ahli syurga) atau Ashabul Syimal (ahli neraka).

Ashabul Yamin ialah mereka yang menerima suratan amalan masing-masing dari sebelah kanan. Ertinya mereka adalah kumpulan manusia yang bernasib baik dan berbahagia. Mereka adalah ahli syurga. Sementara Ashabul Shimal pula ialah sebelah kiri, mereka adalah terdiri daripada golongan yang malang nasibnya kerana mereka adalah ahli neraka.

Setelah masing-masing menerima suratan amalan, mereka akan ke destinasi masing-masing sama ada ke syurga atau ke neraka. Mereka semuanya akan melalui titian Sirat Al-Mustaqim. Titian yang diletakkan untuk menyeberangi lautan api neraka, titian yang di kanannya terdapat banyak pengait-pengait untuk mengait kaki sesiapa yang berhak dikait. Orang yang terkait kaki itu ada dua golongan:

  1. Golongan yang gugur jatuh ke dalam lautan api itu ialah orang yang pada masa hidup di dunia telah terkait, terpengaruh dan terpedaya dengan hasutan syaitan atau nafsu liarnya sehingga terjatuh ke dalam lubuk kejahatan dan kedurhakaan sampai matinya tanpa sempat bertaubat.
  2. Golongan yang rebah bangun, rebah bangun dan akhirnya selamat sampai ke seberang. Mereka ialah orang yang pada masa hayat di dunia kerapkali dikait, dipengaruhi dan diperdayakan oleh syaitan atau nafsu amarahnya melakukan maksiat. Tetapi pada tiap-tiap kali mereka jatuh ke dalam satu-satu kesalahan, mereka segera ingatkan azab siksa tuhan, lalu mereka menyesal dan bertaubat sampai mati dalam keadaan taatkan Allah.
  3. Golongan yang istimewa dapat meyeberang titian Sirat dengan jayanya dan selamat ke syurga.



Thursday, December 12, 2013

Peringkat-peringkat yang dialami oleh manusia (makhluk) 4

MIZAN ATAU TIMBANGAN AMAL



Semua amalan manusia semasa hidup ini dicatatkan oleh malaikat Raqib dan 'Atid. Segala jenis perbuatan sama ada baik atau buruk tidak terlepas daripada catatan malaikat tersebut. Semuanya akan direkod dan kemudian akan diadili oleh Allah S.W.T Hakim Yang Maha Adil. Setiap perbuatan yang dilakukan semasa hidup di dunia akan dihisap dan akan menerima hukuman seadil-adilnya.

Sesiapa yang amalan baiknya lebih berat akan menerima buku amalannya dari sebelah kanan (Ashabul Yamin) dan mereka ini akan masuk ke Syurga. Maka yang jahat akan menerima buku amalannya dari sebelah kiri (Ashabul Syimal) dan sudah pasti mereka ini akan masuk ke Neraka.

Firman Allah S.W.T.:

"Maka sesiapa yang berat timbangan-timbangannya, maka orang itu adalah di dalam kehidupan yang diredhai dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya, maka tempat kembalinya adalah Neraka "Hawiyah". Adakah engkau tahu apakah neraka Hawiyah, iaitu neraka yang apinya panas menyala-nyala."
(Surah al-Qariah: 5-11)

Sabda Rasulullah S.A.w.:

"Daripada Abi Barzah Al-Aslami R.A. daripada Nabi S.A.W. sabdanya: "Tidak berganjak kedua kaki seseorang itu dari tempat berdirinya pada hari kiamat di Padang Mahsyar di hadapan pengadilan Allah melainkan ditanya terlebih dahulu mengenai umurnya k emana dihabiskan, ditanya ilmunya untuk apakah ia digunakan. Ditanya juga mengenai hartanya dari mana diperolehnya dan bagaimana dibelanjakan dan tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan dan kecerdasannya."
(Riwayat Tarmizi)

Daripada Jabir R.A. katanya Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Diletakkan neraca pada hari kiamat, lalu ditimbang amal-amal yang baik dan amal-amal yang jahat, maka sesiapa yang berat timbangan amalan baiknya daripada amalan jahatnya, masuklah dia ke Syurga dan sesiapa yang berat timbangan amal-amal jahatnya daripada amal-amal baiknya masuklah ke Neraka."
(Riwayat Abu Syaikh)